Sebanyak 40 badan bukan kerajaan (NGO) menandatangani memorandum bantahan tindakan kerajaan India memansuhkan Artikel 370 Perlembagaan yang memberikan autonomi khas yang diperoleh Kashmir dan Jammu sejak tujuh dekad lalu.

Antara NGO terbabit ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) dan Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN).

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata tindakan kerajaan India itu melanggar hak asasi manusia dan kebebasan untuk menjamin perlindungan undang-undang serta hak kepada minoriti agama.

Pada masa sama, katanya, langkah kerajaan India melucutkan status khas rantau majoriti Islam yang dituntut Pakistan bulan lalu turut menyebabkan rangkaian komunikasi dan kebebasan bergerak dihadkan di dua kawasan terbabit.

“Kita mendesak Perdana Menteri India, Narendra Modi, bertindak segera untuk menyelesaikan isu berbangkit mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

“Bukan orang Islam sahaja membantah hal ini, malah satu dunia. Hak mereka ditindas, ada yang dikurung. Ini satu pencabulan hak kemanusiaan yang amat serius.

“Kerajaan India seharusnya memberi layanan sama rata kepada rakyatnya termasuk golongan minoriti,” katanya pada sidang media di pekarangan Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, di sini, pagi tadi.

Terdahulu, Muhammad Faisal diiringi Presiden HARMONI, Usaid Asmadi dan Pengarah Eksekutif ACCIN, Jamaluddin Shamsudin menyerahkan memorandum itu kepada wakil suruhanjaya berkenaan.

Pada 5 Ogos lalu, kerajaan India dilaporkan memansuhkan autonomi khas yang diperoleh Kashmir, sekali gus mencetuskan kemarahan negara jirannya, Pakistan.

Ia turut dikatakan akan meningkatkan kebimbangan keganasan seterusnya berlaku di wilayah Himalaya dikuasai umat Islam itu.

Sementara itu, Usaid berkata Perdana Menteri India perlu turun padang dan mengadakan sesi dialog bersama penduduk Kashmir dan Jammu untuk mendengar sendiri kesengsaraan individu terbabit akibat pemansuhan autonomi khas itu.

“Kita mahu pemimpin nombor satu India itu mengetahui secara jelas apa yang berlaku di Kashmir dan Jammu. Berikan mereka keadilan yang sewajarnya,” katanya.

Jamaluddin pula menyifatkan tindakan kerajaan India itu sebagai cubaan pembersihan etnik minoriti.

“Langkah memansuhkan autonomi itu juga dibuat secara tidak sah kerana didapati melanggar hak kemanusiaan. Kita khuatir jika isu ini tidak ditangani dalam masa terdekat, akan berlaku insiden keganasan dan ekstremisme,” katanya.

Sementara itu, 40 NGO itu turut menganjurkan Himpunan Solidariti Untuk Kashmir di pekarangan Masjid Negara, di sini, petang ini.

Ahli NGO itu dilihat memegang sepanduk tertulis ‘We Stand With Kashmir’, ‘Free Kashmir’ dan ‘Hentikan Pembersihan Etnik’ sambil melaungkan ‘Hidup Kashmir’ serta‘Peduli Kashmir’.

Himpunan yang berlangsung kira-kira setengah jam bermula pada jam 2 petang dengan disertai ratusan jemaah solat Jumaat

– Extracted from Berita Harian Online dated 6-Sep-2019

In that event, PERMIM president has given his views as per the below video.

PERMIM President Speech in the Solidarity for Kashmir at Masjid Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

*