Dilema Mamak di Malaysia – (Bahagian I: Kenali Dirimu)

Mamak, nama yang biasa kita dengar di Malaysia. Ke mana sahaja kita berjalan di Malaysia kita sentiasa terserempak dengan Restoran dan warong makanan Mamak. Kita tidak boleh lupa tentang mee goreng mamak, rojak mamak dan cendol mamak. Juga nasi kandar mamak. Golongan Mamak adalah kaum minoriti dalam masyarakat Malaysia. Kita mungkin kecil dari segi kuantiti tetapi tidak kecil dari segi kualiti. Saya juga anak seorang Mamak dan biasa mendengar satu lagi nama yang digunakan oleh masyarakat Tamil dalam pergaulan sosial. “Tulukkar” merupakan nama panggilan Mamak. Sebenarnya perkataan Tulukkar ini berasal daripada perkataan “Turukkar” yang membawa maksud orang berbangsa Turki. Ada kalanya masyarakat Tamil memanggil orang Mamak dengan nama hormat iaitu “baii” maksudnya abang. Saya pernah mendengar arwah ayah dahulu dipanggil dengan nama lain seperti “muthalali” dan “rawther”.